Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura terus memperkukuhkan kerjasama strategik dalam sektor kesihatan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

Ia meliputi penyelarasan dasar pelabelan makanan, akses teknologi perubatan, dan pelancongan kesihatan rentas sempadan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala beliau bersama rakan sejawat dari Singapura, Ong Ye Kung, di Geneva, Switzerland, semalam.

“Hubungan erat Malaysia dengan Singapura dalam sektor kesihatan, terus dipacu melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang mencerminkan tingkat kepercayaan serta komitmen tinggi demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

“Pertemuan ini menzahirkan iltizam bersama untuk memperkukuhkan kerjasama strategik yang membawa manfaat langsung kepada masyarakat,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook, malam tadi.

Dr Dzulkefly berkata, pada pertemuan itu, kedua-dua negara turut memperhalusi penyelarasan dasar pelabelan makanan (Nutri-Grade) sebagai langkah proaktif dan bersepadu bagi memerangi penyakit tidak berjangkit (NCD) di rantau ini.

Katanya, Malaysia juga menyambut baik pelaksanaan Program Persandaran Kawal Selia Peranti Perubatan yang bakal mempercepatkan akses teknologi perubatan berkualiti tinggi dan inovatif ke dalam pasaran serantau.

Beliau berkata, kedua-dua pihak turut meneroka potensi peluasan pelancongan kesihatan merentas sempadan, termasuk inisiatif memudah cara rujukan pesakit dari Singapura ke kemudahan swasta di Johor, serta peluasan perlindungan insurans Medisave.

“Hal ini pastinya mampu memangkin limpahan ekonomi dan memperluas kesalinghubungan kesihatan demi manfaat rakyat di wilayah selatan tanah air.

“Dalam dunia yang mendepani pelbagai cabaran kesihatan awam yang kompleks, kesepakatan ini bukan sekadar meneruskan legasi persahabatan, tetapi juga menjadi wahana penting dalam membina sistem kesihatan serantau yang lebih mampan, berdaya tahan dan manusiawi,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia kekal komited mendukung diplomasi dan kerjasama yang berpaksi kepada sikap saling menghormati serta kemakmuran bersama.-BH Online