IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu kelulusan diberikan kepada lulusan aliran Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak seharusnya dipolitikkan.
Ini kerana, kata Perdana Menteri kemasukan pelajar lulusan UEC ke IPTA tetap tertakluk kepada syarat ketat sama seperti lulusan sekolah di luar sistem pendidikan kebangsaan yang lain.
Beliau berkata, antara syarat utama bagi melayakkan mereka mendapat tempat di universiti awam adalah wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Sekarang ini sekolah antarabangsa kita letak syarat kan? (Syarat yang sama), sekolah antarabangsa itu anak-anak Melayu ramai, anak-anak Malaysia. Jadi kita syaratkan yang sama (kepada UEC).
“Maahad tahfiz dan sekolah Arab yang dulunya mengajar semua kurikulum dalam bahasa Arab tetapi tidak memberi penekanan tentang bahasa Melayu dan sejarah, kita berikan syarat yang sama. Itulah sebabnya mengapa kita buat keputusan (beri laluan kepada UEC),” kata Anwar.
null
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/ UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
KPT memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Bagi calon daripada aliran terbabit yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh, mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Tambah Anwar lagi, dalam kehidupan perlu ada semangat tolak ansur, namun beliau menegaskan satu perkara yang tidak boleh dikompromi dalam menilai isu berkaitan UEC ini ialah soal bahasa.
“Sesiapa yang tinggal di Malaysia mesti menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.
“Untuk menjadi warganegara Malaysia, seseorang mesti memahami sejarah kita, Perlembagaan Persekutuan, sejarah kemerdekaan dan perjuangan menentang penjajah,” katanya.
Anwar turut menjelaskan bahawa pelajar yang layak tidak akan terhad kepada program berkaitan bahasa sahaja, malah boleh mengikuti kursus seperti perakaunan dan lain-lain.
Bagaimanapun, beliau berkata keputusan akhir mengenai akreditasi profesional bagi program tertentu akan ditentukan oleh universiti dan badan profesional berkaitan.-BH Online
