Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BAGAN DATUK: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melontarkan sindiran tajam terhadap BERSATU dengan mendakwa beliau sememangnya sudah menjangkakan ketidakstabilan parti itu susulan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin utamanya, baru-baru ini. 

Zahid berkata, BERSATU yang diasaskan oleh bekas pemimpin UMNO adalah sebuah ‘parti serpihan’ yang relevan politiknya sememangnya tidak akan bertahan lama.

“Saya doakan yang terbaik kepada mereka dan kepimpinan parti mereka. Saya tidak berniat untuk campur tangan dalam urusan dalaman parti serpihan UMNO ini.

“Sejak awal lagi saya sudah menyatakan bahawa jangka hayat politik parti itu tidak akan panjang. Kita akan lihat dalam masa terdekat apakah nasib yang menanti mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program MARA Prihatin di Politeknik Sultan Nazrin Shah, di sini, hari ini. 

Timbalan Perdana Menteri itu mengulas kemelut dalaman BERSATU yang baru-baru ini menyaksikan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen dipecat, selain beberapa lagi digantung keahlian. 

Semalam, BERSATU memecat dua ADUN Kedah dan menggantung tujuh lagi wakil rakyat atas dakwaan pelanggaran disiplin. 

Mereka yang dipecat ialah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis.

UMNO sedia ambil kesempatan daripada perpecahan BERSATU

Dalam masa sama, Zahid memberi bayangan bahawa UMNO bersedia mengambil kesempatan daripada perpecahan dalam BERSATU dengan menyatakan parti itu terbuka menerima semula bekas ahli yang mahu kembali mencari platform politik. 

Ia susulan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki yang sebelum ini menyatakan parti itu bersedia menerima semula mereka yang pernah keluar atau dipecat. 

“Jika ada permohonan, kita akan pertimbangkan,” kata Zahid. 

Ketika ditanya sama ada syarat kemasukan semula akan diperketatkan bagi mengelakkan tindakan lompat parti pada masa depan, Zahid berkata, UMNO akan mengekalkan dasar keterbukaan menerusi konsep ‘Rumah Bangsa’. 

“Kita terbuka kerana sebagai sebuah parti politik yang bertindak sebagai ‘rumah bangsa’, kita mempunyai dasar terbuka. 

“Kita bersikap besar hati dan berfikiran terbuka untuk menerima sesiapa sahaja dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam yang mahu menyertai parti ini. Malah, kita sudah mula menerima sambutan luar biasa daripada mereka yang berminat,” katanya.-BH Online