Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Kerajaan memberi jaminan tidak akan menutup Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, komitmen itu selaras dengan peruntukan dalam Akta Pendidikan, selain menegaskan masyarakat tidak perlu bimbang atau terpengaruh dengan dakwaan sebaliknya.

“Kerajaan MADANI tidak akan menutup SJKT dan SJKC. Kita mempertahankan kedua-dua sekolah ini seperti termaktub dalam Akta Pendidikan. Jadi, jangan takut, jangan risau dan jangan terpengaruh dengan sentimen berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Kalvi Yutham 2026 anjuran Sri Murugan Centre (SMC) di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Castlefield, Puchong, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abd Kassim dan Pengarah SMC, Surain Kanda.

Fadhlina berkata, beliau komited mengadakan pertemuan dengan Persatuan Guru Besar SJKT dua kali setahun bagi menyelesaikan isu tertunggak, termasuk penyelenggaraan dan pemindahan sekolah.

“Semua isu ini perlu diselesaikan ketika kerajaan sedia ada masih mempunyai mandat,” katanya.

Pada masa sama, Fadhlina mengingatkan pegawai Jabatan Pendidikan supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada sekolah kebangsaan ketika mengadakan lawatan.

“SJKC adalah sekolah kita, SJKT juga sekolah kita. Anak Cina, anak India dan anak Melayu semuanya adalah anak kita,” katanya.

Mengulas isu lain, Fadhlina berkata Lembaga Peperiksaan Malaysia sudah diarahkan meneliti serta menambah baik subjek Pendidikan Moral susulan kebimbangan komuniti India terhadap sistem pemarkahan.

Berhubung peluang ke program matrikulasi, Fadhlina berkata kerajaan kekal dengan dasar pemberian tawaran automatik kepada pelajar memperoleh 10A tanpa mengira latar belakang.

“Jika dapat 10A, tawaran adalah automatik. Kita mahu mempertahankan dasar ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaan dasar itu mencabar berikutan struktur kuota 90:10, dengan 90 peratus tempat diperuntukkan kepada Bumiputera.

“Ia bukan mudah, namun kita akan terus memperjuangkan supaya pelajar yang mendapat 10A layak ditawarkan tempat secara automatik,” katanya.

Fadhlina turut menegaskan pendekatan tadbir urus pendidikan secara ‘top-down’ tidak lagi relevan.

“Era kerajaan tahu semua sudah berakhir. Kini adalah masa untuk bekerjasama bagi menambah baik sistem pendidikan secara berterusan,” katanya.-BH Online