Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 1 Mei– Cadangan penubuhan Majlis Tahfiz Negara (MTN) akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan bagi mendapatkan kelulusan rasmi kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi memastikan inisiatif berkenaan diangkat sebagai antara agenda utama dalam pendidikan nasional.

“Kita mahu melahirkan jurutera huffaz, doktor huffaz, teknokrat huffaz, usahawan huffaz dan pemimpin huffaz, malah menjadi cita-cita saya untuk melihat suatu hari nanti lahir Ketua
Setiausaha Negara dan Perdana Menteri dalam kalangan mereka yang bergelar Al-Hafiz,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutup Kongres Pendidikan Bumiputera Bersempena Ulang Tahun UMNO Ke-80 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, usaha memperkasa pendidikan tahfiz tidak terhad kepada program sedia ada seperti prasekolah tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan penubuhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab.

Sebaliknya memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dan tersusun bagi memastikan kesinambungan pendidikan tahfiz sehingga ke peringkat lebih tinggi.

“Sebab itu, usaha ini tidak boleh terhenti hanya pada Pra-Tahfiz KEMAS, MRSM Ulul Albab atau TVET Tahfiz. Ia mesti menjadi agenda pendidikan nasional yang lebih tersusun.

“Dalam konteks ini, pada hemat saya, sudah tiba masanya kita menyelaras Institusi Pengajian Tinggi Awam, swasta dan kolej-kolej yang menawarkan pendidikan tahfiz bawah satu kerangka yang lebih jelas agar pendidikan tahfiz bukan sahaja diperkasa, tetapi diberi laluan yang lebih luas dalam ekosistem pendidikan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan cadangan penubuhan Suruhanjaya Guru bagi memperkasa profesion perguruan, di samping menjaga kebajikan warga pendidik.

Tegas beliau, guru memainkan peranan yang besar dalam membentuk generasi masa depan dan tidak seharusnya dilihat sebagai penyampai silibus semata-mata.

Cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.-Berita RTM