KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) sudah menjalankan siasatan dalaman membabitkan seorang komando yang dilaporkan mengalami kecederaan parah di Kem Iskandar, Mersing, Johor pada Mac lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata hasil siasatan berkenaan akan dimajukan dalam masa terdekat dan tindakan sewajarnya terhadap anggota terbabit dalam kejadian itu akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan.
Menurutnya, Kementerian Pertahanan mengambil maklum laporan susulan sidang media oleh Lawyers for Liberty (LFL) berhubung insiden membabitkan anggota komando terbabit.
“Kes ini kini dalam perhatian pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut sewajarnya, (ia) membabitkan dua anggota yang dipercayai terbabit.
“Kementerian menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, keadaan anggota yang terjejas terus dipantau rapi.
“Mangsa kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan sedang menjalani rawatan pemulihan di bawah pemantauan pihak perubatan.
“Kementerian Pertahanan komited memastikan kes ini ditangani secara telus, adil dan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Hari ini media melaporkan, siasatan kes membabitkan seorang komando yang dilaporkan mengalami kecederaan parah di sebuah kem tentera di Johor, Mac lalu sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada pihak pendakwaan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dipetik berkata, kertas siasatan kes berkenaan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Johor, kelmarin dan pihaknya kini menunggu arahan selanjutnya dari Pejabat PPN Johor.
Terdahulu media melaporkan seorang anggota komando mengalami kecederaan parah ketika berada di sebuah kem tentera di Johor pada 11 Mac lalu.
Mangsa, Abdul Hamid Talib, 25, bertugas di Rejimen 22 Komando, Kem Iskandar, Mersing, Johor dan berasal dari Bum Bum, Semporna, Sabah.
Mangsa kini tidak mampu bercakap serta bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan menerima nutrisi melalui tiub susulan kecederaan serius di bahagian kepala.
Pada sidang media di Petaling Jaya hari ini, kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) bersama keluarga mangsa menuntut penjelasan berhubung punca sebenar insiden itu serta siasatan menyeluruh.-BH Online
