KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menjalankan tugas seperti biasa walaupun Barisan Nasional (BN) memaklumkan sudah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri bersama sokongan Perikatan Nasional (PN).
Perdana Menteri berkata, setakat ini Aminuddin perlu menjalankan tugasnya seperti dititahkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Keputusan mereka setakat ini (BN)… dengan dengar titah Tuanku saya dengar semalam, kerajaan negeri harus berjalan seperti biasa sehingga ada keperluan untuk membawa apa-apa perubahan.
“Setakat ini saya minta Menteri Besar jalan seperti biasa dan kita juga tidak menghalang proses undang-undang itu diteruskan dengan baik,” katanya kepada pemberita, di sini.-BH Online
