KUALA LUMPUR, 25 April– Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi agensi di bawahnya bakal menyalurkan bantuan komprehensif kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah.
Menterinya, Dr. Zulkifli Hasan menyatakan bahawa pihaknya telah menjalankan tinjauan awal bagi mengenal pasti kumpulan sasar agar bantuan yang dihulurkan lebih efektif dan menepati keperluan mangsa.
“JAKIM bersama agensi agama lain telah pun turun padang sejak awal kejadian. Setakat ini, kita telah membantu dari aspek penyediaan kelas KAFA dan pendidikan agama. Insya-Allah, lebih banyak bantuan akan disalurkan selepas kita selesai mengumpul maklumat terkini mengenai kumpulan sasar dan lokasi keutamaan.”
“Pada Selasa ini, saya sendiri akan ke Sandakan untuk menyampaikan bantuan seperti yang telah dirancang,” kata Dr. Zulkifli kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Pemandu E-Hailing dan P-Hailing ‘Barakah Pit Stop’ di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.
Tambahnya, antara agensi yang terlibat ialah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta Lembaga Tabung Haji.
Tragedi pada 19 April lalu itu menyaksikan hampir 1,000 buah rumah di perkampungan atas air berkenaan musnah dalam kebakaran, melibatkan kira-kira 900 Ketua Isi Rumah (KIR).-Berita RTM
