BATU KAWAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri Pengangkutan bersama Ketua Setiausaha (KSU) kementerian itu mencari langkah untuk menurunkan kadar cukai jalan kenderaan diesel.
Perdana Menteri berkata, ia adalah bagi membantu mengurangkan beban mereka yang menggunakan kenderaan diesel, susulan kenaikan harga bahan api itu yang tidak mampu ditangani kerajaan berikutan krisis Asia Barat yang masih berlarutan.
Katanya, mengikut statistik terdapat 1.8 juta kenderaan diesel direkodkan di negara ini, manakala kerajaan pula berdepan beban yang amat berat apabila perlu mengeluarkan dana tambahan RM7 bilion sebulan bagi menampung penyasaran subsidi RON95.
“Jadi, sebab itu bila dengar daripada masalah diesel tadi saya bincang dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan minta beliau bersama KSU (JPJ) untuk mencari jalan sekarang supaya dalam tempoh terdekat turunkan (kadar) cukai jalan kenderaan diesel.
“Itu boleh. Turun harga minyak sekarang ini kita tak mampu tapi cukai jalan itu boleh. Kalau nak turun banyak, tolong lobi dengan Menteri Pengangkutan,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Hari JPJ ke-80 dan Karnival Mega JPJ Madani di Stadium Negeri Batu Kawan, di sini, hari ini.
Harga minyak Malaysia masih termurah Asia Tenggara
Dalam pada itu, Anwar berkata, harga minyak di Malaysia masih antara yang terendah di Asia Tenggara dan masih mempunyai keupayaan untuk memastikan rakyat dapat menikmati subsidi.
“Semalam saya dengan Tuanku Sultan Brunei yang berada di Kuala Lumpur memaklumkan Brunei sahaja (harga minyak) yang agak rendah sedikit daripada kita tetapi semua harga pengeluar minyak lain, harga minyaknya itu lebih mahal daripada kita.
“Jadi syukurlah dulu sedikit. Bagilah sedikit pengiktirafan. Oh kita turun (kuota Budi95) daripada 300 turun jadi 200. Yalah jimat nak sikit. Saya pun tahu walaupun nama 200, kadang isteri dia 200, suami dia 200, 400. Kita pun tahu.
“Apakah perlu diturunkan lagi? Tengok keadaan. Tengok keadaan apakah cukup minyak untuk negara kita. Apakah cukup pendapatan?” katanya.
Tegas Anwar, kerajaan sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikan permasalahan kemelut minyak dan bersyukur mempunyai hubungan baik dengan Iran.
“Kebimbangan kita terbesar ialah supply (bekalan minyak) dan kedua adalah harga sebab kalau kita bicara harga, ada negara dalam tempoh awal bulan lalu dan awal bulan ini terdapat 400 stesen minyak ditutup.
“Jadi bayangkan, saudara di kota, kecil, stesen minyak ditutup. Bagaimana hidup? Ada negara pegawai-pegawai kerajaan kita hanya diminta ketua-ketua negara kata bekerja dari rumah.
“Ada negara kalau pergi pejabat, sebaiknya kalau dia satu kota, berjalan kaki ke pejabat. Alhamdulillah kita belum sampai ke arah itu dan saya tidak fikir kita akan bergerak ke arah itu tetapi janganlah kita takabur dengan anggap kita boleh selesaikan semua masalah yang dihadapi oleh dunia sekarang. Kita juga bernasib baik kerana saya katakan tadi hubungan kita baik dengan Iran,” katanya.-BH Online
