LANGKAWI: Penempatan anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di 170 stesen minyak berisiko tinggi berhampiran sempadan negara berhasil apabila jualan petrol RON95 menyusut sebanyak 20 peratus.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata berdasarkan rekod dari 13 hingga 21 April lalu, penjualan RON95 menunjukkan penurunan ketara, manakala RON97 pula mencatatkan peningkatan.
“Perkembangan itu membuktikan strategi dilaksanakan kerajaan tepat dalam mengekang kebocoran bahan api yang sebelum ini disyaki diseleweng pihak tidak bertanggungjawab.
“Ini antara kejayaan Op Tiris selepas polis membantu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengawasi stesen minyak berhampiran sempadan,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Pos Kawalan PGA di Jeti Teluk Ewa, di sini, hari ini.
Beliau berkata Op Tiris di Kedah turut mencatatkan kejayaan apabila sebanyak 58 kes rampasan pelbagai barangan kawalan direkodkan sepanjang empat bulan pertama tahun ini.
“Dari Januari hingga Rabu lalu, sebanyak 58 kes rampasan dilakukan membabitkan 33,586 unit barangan dengan nilai keseluruhan RM121,945.45.
“Antara barangan dirampas termasuk diesel, petrol, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, gula pasir kasar dan tepung gandum, mencerminkan kepelbagaian komoditi yang menjadi sasaran aktiviti penyeludupan,” katanya.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, rampasan diesel adalah tertinggi iaitu RM101,676.20, diikuti petrol (RM10,561.54), minyak masak (RM4,839.60), LPG (RM3,873.20), gula pasir kasar (RM668.07) dan tepung gandum (RM326.84).-BH Online
