KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penyelewengan dana zakat, termasuk kesalahan pecah amanah dan salah guna kuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata kerajaan memandang serius isu berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Isu ini (penyelewengan dana zakat) masih dalam siasatan dan tidak menggambarkan keseluruhan sistem serta pengurusan pungutan zakat di Malaysia.
“Ia perlu disiasat terlebih dahulu dan sebarang kesalahan seperti pecah amanah atau salah guna mesti dikenakan tindakan undang-undang tanpa pengecualian,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni warga Yayasan Pendidikan Insani di Bandar Baru Selayang, di sini, hari ini.
Zulkifli turut menzahirkan keyakinan bahawa institusi zakat secara amnya mengendalikan amanah itu dengan baik, selain berharap pengurusannya terus diperkukuh.
“Alhamdulillah, banyak pusat zakat kini berada pada tahap yang baik, termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang menerima pelbagai pengiktirafan tatakelola serta sijil audit bersih daripada Ketua Audit Negara,” katanya.
Mengenai pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) dalam urusan pengurusan zakat, beliau berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Majlis Agama Islam Negeri dan pusat zakat di peringkat negeri.
Sementara itu mengenai usaha memperkukuh tadbir urus NGO Islam, Zulkifli berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memulakan inisiatif bagi meningkatkan kemahiran organisasi terlibat, termasuk aspek pengurusan kewangan dan tatakelola yang lebih sistematik.
“Kita memberikan latihan dan kursus kepada NGO Islam khususnya untuk memperkukuhkan aspek governance (tatakelola) dan kewangan. Kita juga sedang meneroka untuk memperkenalkan kursus yang lebih menyeluruh kepada mereka sebagai bentuk sokongan pengetahuan,” katanya.-BH Online
