JOHOR BAHRU: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung senarai calon Ketua PesuruhjayaSuruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketika ini, jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM disandang Tan Sri Azam Baki yang kontraknya dijadualkan tamat 12 Mei ini.
Menurut Perdana Menteri, pertemuan berkenaan berlangsung di Istana Pasir Pelangi, di sini, pada pagi tadi.
“Nanti saya akan umumkan kemudian (Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu),” katanya ringkas ketika ditemui di selepas makan tengah hari di Pasar Tani Kekal Permas Jaya, di sini hari ini.
Mengenai senarai nama calon diserahkan kepada Sultan Ibrahim, Anwar sekadar memaklumkan, jumlah yang layak.
“Nama yang layak ada 120,” katanya dalam nada berseloroh.
Semalam, Sultan Ibrahim bertitah akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Baginda bertitah, jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titah baginda sambil menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara berkenaan.
Azam mula menyandang jawatan Ketua Pesuruhjaya pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang meletak jawatan pada 2 Mac 2020, selepas hanya kira-kira 10 bulan memegang jawatan tersebut. Beliau dilantik semula sebanyak tiga kali berturut-turut, setiap kali untuk tempoh setahun.
Jawatan berkenaan menarik perhatian umum kerana SPRM menjadi badan penguatkuasaan utama negara dalam pembanterasan rasuah dan erta pemulihan aset negara yang hilang akibat penyelewengan besar-besaran.
Terdahulu, Perdana Menteri sempat beramah mesra bersama komuniti tempatan di Permas Jaya, sebelum menyertai lebih 1,500 jemaah, termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya.-BH Online
