PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 463 permohonan menurunkan kandungan berita palsu berkaitan krisis tenaga global setakat hari ini, susulan peningkatan aduan maklumat tidak sahih di platform media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata semua permohonan yang diterima MCMC akan diajukan kepada penyedia plaform berkaitan untuk tindakan susulan.
“Setakat jam 7 pagi tadi, jumlah permohonan penurunan berita palsu yang diterima oleh MCMC berjumlah 463 dan berdasarkan aduan yang dibuat, jumlah terbesar adalah bagi platform Facebook iaitu sebanyak 185 permohonan.
“Sementara jumlah kedua tertinggi adalah di TikTok sebanyak 142 kandungan dan yang ketiga di Threads sebanyak 131 kandungan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.-BH Online
