KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memeterai 24 kontrak dan Program Kolaborasi Industri (ICP) bernilai RM3.54 bilion sempena pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026.
Pemeteraian itu membabitkan 12 kontrak perolehan, empat Surat Niat bernilai RM1.01 bilion serta lapan perjanjian nilai kredit ICP berjumlah RM1.40 bilion.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata tempoh pelaksanaan kontrak bergantung kepada syarikat pembuat kapal dan pengeluar peralatan tulen (OEM) yang terbabit.
Beliau berkata jumlah kontrak dan ICP yang dimeterai pada pameran kali ini lebih rendah berbanding edisi sama dua tahun lalu susulan pembekuan sementara proses pertimbangan perolehan pada awal tahun ini.
“Ini kerana seperti kita sudah maklum pada awal tahun ini, kita membekukan semua proses pertimbangan perolehan bagi kontrak kerana perkara yang tidak dapat dielakkan.
“Itu bukan bermakna tidak ada lagi perolehan, sebaliknya kerana dua bulan, tiga bulan kita tidak melaksanakan apa-apa proses, maka yang kita tandatangan adalah seperti yang kita saksikan pada hari ini,” katanya pada sidang media penganugerahan dan pemeteraian kontrak serta ICP di sini, hari ini.
Pameran DSA dan NATSEC Asia edisi ke-19 itu turut mencatat peningkatan penyertaan apabila disertai 1,456 syarikat pempamer dari 63 negara berbanding 1,324 syarikat dari 60 negara pada 2024.
Peningkatan penyertaan itu mencerminkan minat berterusan pemain industri pertahanan global terhadap pasaran Malaysia dan rantau ini, selain memperkukuh kedudukan DSA sebagai antara pameran pertahanan utama dunia.-BH Online
