Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA TINGGI: Kawasan di sekitar Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng adalah antara lokasi pelaksanaan pembenihan awan bermula hari ini dan esok, berikutan kemarau yang menjejaskan lebih 4,000 pengguna di FELDA Lok Heng dan Waha, sejak awal bulan ini.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tarikh itu dipilih kerana sebelum ini, didapati awan di kawasan tersebut nipis dan tidak sesuai untuk menjalankan operasi berkenaan.

“Marilah sama-sama berdoa dan memohon kepada Ilahi agar cabaran gangguan bekalan air ini dapat diatasi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Operasi pembenihan awan turut melibatkan beberapa kawasan lain di Johor, iaitu Empangan Upper Layang, Empangan Machap, Empangan Seluyut, Empangan Lebam, Empangan Linggiu dan LRA Gembut.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata pelbagai usaha mitigasi telah dilaksanakan kerajaan negeri bersama agensi berkaitan termasuk penggunaan air bawah tanah melalui telaga tiub serta percubaan pemindahan air dari Sungai Lukah.

Beliau berkata bagaimanapun, kedua-dua kaedah tersebut tidak dapat diteruskan berikutan keadaan sumber air terhad, selain tahap kemasinan tinggi di sungai berkenaan yang tidak sesuai untuk dirawat menggunakan fasiliti sedia ada di LRA terbabit.

Selain itu, pengendali air Johor, Ranhill SAJ juga telah menggunakan set loji penyahgaram di LRA Lok Heng yang dijangka mampu menghasilkan dua juta liter air terawat sehari, bagi menangani gangguan bekalan air susulan kemarau berpanjangan melebihi dua bulan.

“Usaha ini diharapkan dapat membantu memulihkan dan menstabilkan semula bekalan air secepat mungkin, sekali gus mengurangkan kesulitan yang dihadapi penduduk terjejas di kawasan berkenaan. Saya difahamkan pelaksanaan loji penyahgaram menghadapi sedikit kelewatan,” katanya.

Pada 15 April lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata loji penyahgaram itu beroperasi pada Isnin lepas dan sekurang-kurangnya dapat membantu pengguna di kawasan FELDA Lok Heng dan Waha untuk menerima bekalan air dari pili paip rumah mereka.– BERNAMA