Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEGAMAT, 19 April – Komuniti Madani disasar menjadi wadah yang kukuh dan ampuh dalam menangkis serangan fitnah serta penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Ujar Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, selain menjadi benteng maklumat, komuniti tersebut perlu berperanan sebagai penghubung dua hala yang responsif dalam menyampaikan keluhan rakyat kepada pihak kerajaan.

“Kita mahu pasukan Komuniti Madani menjadi penghubung kepada rakyat, mendengar masalah mereka, dan seterusnya memastikan pihak kerajaan lebih responsif dalam menangani isu-isu semasa yang dihadapi di peringkat akar umbi,” katanya demikian pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Komuniti Madani Johor di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.

Bagi memperkasakan peranan tersebut, beliau juga mahu ahli komuniti bekerjasama erat dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk menjalani latihan kemahiran tinggi termasuk penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dan aplikasi rekaan digital bagi memudahkan penyebaran fakta yang sahih.

Langkah itu juga melibatkan kemahiran menyediakan hujah yang bernas bagi menjawab segala kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat terhadap dasar-dasar Kerajaan Persekutuan.

Sepanjang tahun lalu, Komuniti Madani Johor menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan penganjuran 974 program Jiwa@Komuniti Madani yang melibatkan seramai 400 ahli di seluruh negeri tersebut.-Berita RTM