Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia akan melaksanakan dasar luar yang seimbang dengan melibatkan semua kuasa besar sambil mengutamakan kepentingan negara serta kestabilan serantau, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menegaskan keperluan mengekalkan keamanan dan kelancaran aliran perdagangan global tanpa gangguan.

Beliau berkata Malaysia mengekalkan hubungan konstruktif dengan semua kuasa besar termasuk Amerika Syarikat (AS), Russia dan Iran, selain memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam menyampaikan kebimbangan negara Teluk dan dunia Arab yang lebih luas susulan ketegangan berterusan.

“Kita telah berinteraksi dengan lebih banyak negara … keutamaan saya, mandat yang saya ada, ialah melindungi kepentingan rakyat negara ini,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese di sini, hari ini.

Pemimpin Australia itu mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia dari 15 hingga 17 April.

Sementara itu, Anwar menegaskan bahawa Malaysia kekal konsisten dalam mendukung kebebasan navigasi, terutamanya di sepanjang laluan maritim kritikal seperti Selat Melaka dan Selat Hormuz, sambil mengakui keperluan untuk menangani kebimbangan keselamatan yang timbul akibat konflik berterusan.

“Anda tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa apabila sesebuah negara diserang dan tiada jaminan keselamatan, kebimbangan tersebut mesti ditangani.

“Walaupun menyokong pendirian mengenai kebebasan navigasi, kami juga mahukan jaminan jelas daripada semua negara, termasuk kuasa besar, untuk mengakhiri permusuhan, serangan dan juga sekatan terhadap pihak lain,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia mengutamakan keamanan dan kestabilan laluan perdagangan global.

“Jadi, kami melihatnya secara lebih menyeluruh, namun akhirnya kami menyokong keamanan, dan Selat Hormuz mesti kekal terbuka kepada komuniti antarabangsa bagi membantu menyelesaikan isu-isu utama yang dihadapi bukan sahaja di rantau ini, tetapi juga di peringkat dunia,” katanya.

Sementara itu, Albanese menekankan peranan Australia sebagai “rakan dagang yang dipercayai dan boleh diharap”, sambil menyatakan pematuhan Australia terhadap Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) kekal sebagai prinsip global dan tonggak utama penglibatan antarabangsa negara itu.

“Kami menjangkakan kebebasan navigasi menjadi asas kepada perdagangan antarabangsa, dan itu adalah sangat penting, prinsip tersebut, dan ia merupakan prinsip yang kami pegang,” katanya.– BERNAMA