Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memiliki potensi besar untuk terus melangkah ke hadapan sebagai pemacu utama pembangunan wilayah yang mampan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sejak diperbadankan pada 1973, KETENGAH memainkan peranan yang besar dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat luar bandar di Terengganu.

“Banyak perubahan yang telah digerakkan dan hasilnya dapat dirasai oleh rakyat sehingga hari ini,” katanya dalam hantaran Facebook sempena ulang tahun ke-53 agensi itu hari ini.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata KETENGAH juga berpotensi besar untuk memperkasakan sektor ekopelancongan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi serta keunikan warisan tempatan.

Beliau berkata dengan perancangan yang tersusun serta pelaksanaan yang konsisten, agensi itu mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat.

“Saya mendoakan KETENGAH akan terus melakar kejayaan lebih besar pada masa hadapan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan wilayah,” katanya.

Diperbadankan pada 12 April 1973, KETENGAH merupakan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diberi kuasa untuk menjalankan pembangunan ekonomi serta sosial meliputi kawasan seluas 653,075 hektar meliputi pedalaman daerah Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.– BERNAMA