KOTA KINABALU: Kerajaan setuju memperluaskan penugasan statik penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di stesen minyak berhampiran sempadan dan kawasan berisiko tinggi dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata keputusan terbabit dibuat bagi memperkasakan pemantauan dan penguatkuasaan susulan peningkatan risiko ketirisan bahan api petrol serta diesel akibat krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Katanya, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April lalu.
“Sejak 20 Mac lalu, penguat kuasa KPDN ditempatkan secara berkala di stesen minyak di kawasan sempadan seluruh negara.
“Susulan daripada pembentangan laporan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), didapati wujud keperluan untuk memperluaskan liputan pemantauan statik ke seluruh stesen minyak berhampiran sempadan dan kawasan berisiko tinggi.
“Sehubungan itu, bantuan PDRM diperlukan selepas mengambil kira kekangan jumlah jentera penguatkuasa KPDN dan tuntutan keperluan pemantauan lebih terperinci status bekalan serta harga barang-barang di seluruh negara susulan konflik ini.
“Krisis tenaga yang berlaku juga dilihat akan mendatang kesan terhadap rantaian bekalan makanan dan barangan, khususnya sumber import,” katanya selepas menyempurnakan Program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) Santuni Komuniti@Dapur Kita-Kita, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata untuk fasa pertama yang bermula 20 Mac hingga hari ini, penempatan secara statik penguat kuasa KPDN dilaksanakan di 87 stesen minyak seluruh negara.
Katanya, ia akan disusuli dengan 70 stesen tambahan dalam fasa dua bermula minggu depan yang akan membabitkan anggota polis.
“Kita akan terus memantau risiko dan keperluan peluasan lebih menyeluruh dari semasa ke semasa. Saya juga berbincang dengan Menteri Dalam Negeri untuk mempertimbangkan keperluan penglibatan sukarelawan RELA dalam proses pemantauan secara statik di stesen-stesen minyak ini,” katanya.-BH Online
