KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan baki enam lagi kapal Malaysia yang kini berada di Selat Hormuz sedang menunggu giliran untuk melepasi laluan utama perkapalan itu.
Perdana Menteri berkata ketika ini satu daripada tujuh kapal yang diberikan kelulusan oleh Iran berjaya melepasi selat itu dan dijangka tiba di perairan negara ini, bulan ini.
Susulan perkembangan itu, bekalan minyak untuk bulan ini dan Mei dijangka berada dalam keadaan yang terkawal.
“Tan Sri Tengku Muhammad Taufik (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS) sebentar tadi memberitahu perkembangan mengenai kemudahan dan pengangkutan perjalanan kapal kita.
“Alhamdulillah semua terlepas (dapat berlepas), satu sudah pun hampir sampai. Kita berharap bekalan minyak untuk April dan Mei itu nampak masih dalam keadaan yang sangat terkawal,” katanya kepada pemberita, di sini.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussaadah, Cheras Baru, di sini hari ini.
Selat Hormuz menjadi laluan utama kepada 20 peratus daripada bekalan minyak dunia, selain sejumlah besar gas asli dan baja pada waktu aman.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata Malaysia akan terus memantau rapi pergerakan enam kapal negara yang masih terkandas di Selat Hormuz susulan perkembangan terkini situasi serantau di Iran.
Pada 2 Mac lalu, sebuah kapal milik Malaysia dilaporkan berjaya keluar dari Selat Hormuz memuatkan kira-kira satu juta tong minyak mentah Basrah Heavy dan dijangka berlabuh di Pengerang, Johor bulan ini untuk proses pemunggahan.
Kapal disewa oleh Petco, unit kepada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) itu antara tujuh kapal Malaysia yang diberikan kebenaran melalui selat berkenaan.
Serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran pada 28 Februari lalu menyebabkan Iran mengehadkan laluan di Selat Hormuz menyebabkan ribuan kapal daripada seluruh negara termasuk Malaysia, tersadai.
Pada 26 Mac lalu, Malaysia menghargai keputusan Iran dan Presidennya, Masoud Pezeshkian yang membenarkan kapal minyak Malaysia melalui Selat Hormuz.
Sindiran Ahli Parlimen Singapura
Dalam pada itu, Perdana Menteri ketika mengulas sindiran halus bekas Ahli Parlimen Dilantik (NMP) Singapura, Calvin Cheng kerana berunding dengan Iran bagi mendapatkan laluan selamat di Selat Hormuz, berkata Malaysia mempunyai pendirian jelas membabitkan dasar luar termasuk pendekatan berhubung laluan selamat melalui Selat Hormuz.
Beliau berkata, walaupun berbeza pendirian berhubung aspek itu dengan Singapura, persahabatan dengan negara jiran itu perlu dijaga dengan baik.
“Itu pandangan Singapura, itu urusan mereka. Urusan kita, kita berbaik dan kita ambil pendirian yang agak tegas.
“Kita tidak boleh bincang mengenai tindak balas Iran, tetapi tidak bicara mengenai kezaliman serangan biadab Israel ke atas Iran dengan sokongan Amerika Syarikat (AS).
“Jadi kita dalam dasar luar kita itu jelas. Tapi persahabatan dengan negara jiran itu kita kena jaga,” katanya.-BH Online
