Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SRI AMAN: Kerajaan menyalurkan bantuan projek pembangunan pertanian bernilai RM6.9 juta kepada petani di kawasan Batang Lupar bagi meningkatkan produktiviti penanaman padi serta memperkukuh penggunaan teknologi moden dalam sektor berkenaan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata bantuan itu meliputi lima projek pembangunan pertanian Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar, termasuk penyediaan input dan jentera pertanian, pembersihan kawasan penanaman padi, menaik taraf jalan ladang serta penyelenggaraan sistem saliran dan pengairan.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui IADA Batang Lupar akan terus berperanan sebagai pembimbing program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) serta pemudah cara dalam sesi libat urus antara jabatan dan agensi kerajaan, syarikat peneraju dengan pesawah terlibat. 

“Oleh itu, IADA Batang Lupar akan memastikan industri padi di Kawasan Jelapang Padi Batang Lupar ini mencapai matlamat kerajaan dalam menjamin sekuriti bekalan makanan negara pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Gelombang Padi Sarawak: SMART SBB dan Hari Bersama Pelanggan IADA Batang Lupar 2026 di Dewan Nangkai, Stumbin hari ini.

Mohamad berkata program SMART SBB adalah inisiatif kerjasama strategik awam-swasta diperkenalkan KPKM bagi meningkatkan tahap sara diri (SSR) beras negara kepada 80 peratus menjelang 2030.

Beliau berkata program itu turut bertujuan meningkatkan taraf hidup pesawah melalui pengurusan sawah secara moden dan berkelompok, selain melibatkan syarikat peneraju yang menanggung kos operasi tanpa membabitkan perbelanjaan tambahan kerajaan.

Menurut Mohamad, projek rintis SMART SBB di Blok C Tanjung Bijat dekat sini yang bermula di luar musim 2021 telah menunjukkan hasil memberangsangkan apabila purata hasil padi meningkat hampir sekali ganda daripada 2.8 tan sehektar kepada 5.5 tan sehektar.

Projek seliaan IADA Batang Lupar itu melibatkan kerjasama strategik antara syarikat Advansia, BERNAS serta 219 pesawah tempatan di kawasan seluas 105 hektar.

Sementara itu, Mohamad berkata Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak turut bekerjasama mengenal pasti kawasan baharu yang sesuai untuk memperluaskan penanaman padi berskala besar di negeri ini.

Beliau bagaimanapun berkata antara cabaran utama dihadapi sektor padi ketika ini ialah perubahan cuaca yang memberi kesan kepada jadual penanaman, termasuk situasi kemarau berpanjangan yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan jelapang padi di Semenanjung.

“Kami harap kalau berjaya di sini dan ia boleh capai sehingga tujuh tan. Namun, kami perlu hadapi gangguan utama, iaitu fenomena perubahan cuaca contohnya di Kedah dan Perlis, tiga bulan tanpa hujan kalau ada hujan pun sedikit sahaja,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata penggunaan teknologi moden termasuk mesin pemindahan yang digunakan di projek SMART SBB di Tanjung Bijat dijangka membantu meningkatkan kecekapan serta produktiviti penanaman padi di negeri itu.– BERNAMA