NILAI: Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana ia bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya menjadi laluan pendidikan arus perdana.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata perkembangan itu dibuktikan melalui peningkatan jumlah permohonan daripada 28,098 pada 2022 melonjak kepada 58,263 pada tahun ini melebihi kapasiti sedia ada, iaitu 17,912 tempat yang mencerminkan keyakinan rakyat terhadap TVET.
“Perubahan persepsi ini didorong oleh landskap ekonomi global yang semakin dinamik termasuk kemunculan teknologi baharu serta keperluan industri yang kian kompleks.
“Situasi ini menjadikan TVET sebagai satu laluan pendidikan yang strategik, fleksibel dan berorientasikan kerjaya jangka panjang.
“TVET kini dilihat sebagai nadi kepada pembangunan ekonomi negara, graduannya bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal tinggi malah turut terbukti berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan (KPM) kali ke-10 2025 di sini hari ini.
Majlis konvokesyen itu dilaksanakan mengikut zon melibatkan 10,808 graduan daripada 84 kolej vokasional merangkumi 32 program pengajian.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata kebolehpasaran graduan TVET di bawah KPM turut mencatatkan pencapaian membanggakan, iaitu 99 peratus yang mencerminkan tahap kemahiran tinggi pelajar hasil sokongan ekosistem TVET negara yang semakin kukuh dan menyeluruh.
“Dari segi kebolehpasaran TVET ini sendiri telah pun mencapai 99 peratus (untuk KPM sahaja). Jadi, ini menunjukkan anak-anak kita telah mencapai satu tahap yang bagi saya sangat tinggi dari segi kemahiran.
“Ini dibantu oleh ekosistem TVET dalam negara yang sangat membantu urusan kita dalam memperkukuhkan lagi TVET negara selain penglibatan industri yang dianggap sangat penting dalam mengisi keperluan industri,” katanya.
Selain itu, beliau berkata lepasan TVET juga diiktiraf sebagai individu holistik yang berpendidikan serta mampu memberi impak positif kepada industri dan masyarakat dengan pihaknya komited untuk terus memperkukuh TVET sebagai pilihan utama dalam kalangan pelajar.
“Kita tidak lagi bercakap tentang potensi namun kita melihat hasilnya. Anak-anak TVET membuktikan keupayaan mereka di pentas nasional dan antarabangsa bukan sahaja melalui kemahiran teknikal tetapi juga sebagai individu holistik yang berpendidikan, berdaya saing dan bersedia memberi impak positif kepada industri serta masyarakat,” katanya.
Fadhlina berkata penghargaan turut diberikan kepada Bahagian TVET kementerian, pensyarah serta pihak industri yang memainkan peranan penting dalam membangunkan bakat dan kemahiran anak-anak tempatan.
Beliau berkata usaha berterusan itu dilihat mampu memastikan pembangunan negara terus diterajui oleh tenaga kerja domestik berkemahiran tinggi serta berdaya saing.-BH Online
