PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) terus mempergiat usaha memastikan kelangsungan industri penerbangan melalui siri perbincangan berterusan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Menterinya, Anthony Loke, berkata satu sesi libat urus juga akan diadakan dengan pihak industri penerbangan, minggu depan, untuk membincangkan langkah diambil MOT susulan krisis tenaga global yang dihadapi kini.
“Seminggu dua lalu, saya berjumpa CAAM, berbincang dengan MAHB… kita akan terus mengadakan sesi libat urus dengan industri penerbangan pada minggu depan untuk memberi respons kepada industri penerbangan (mengenai) apa langkah berkaitan bagi membantu kelangsungan industri penerbangan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.
Loke sekali gus menjelaskan bahawa krisis itu turut mendorong MOT menggalakkan rakyat untuk terus menggunakan pengangkutan awam, terutama di Semenanjung.
“Kita berharap dapat juga tunjukkan bahawa apa dilakukan oleh kerajaan, khususnya dalam pembinaan kemudahan rel terutama landasan-landasan kereta api yang menelan belanja cukup besar, semua ini dapat memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, MOT menjangka berlaku perubahan tingkah laku dalam kalangan rakyat dengan lebih ramai akan beralih kepada penggunaan pengangkutan awam dan kenderaan elektrik (EV) selepas ini.
Justeru, katanya, menjadi tanggungjawab MOT untuk memastikan sistem pengangkutan awam negara beroperasi dengan tahap kecekapan, kebolehpercayaan dan keselesaan yang tinggi.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata, isu keselamatan jalan raya terus menjadi keutamaan kerajaan, dengan langkah lebih tegas dan respons pantas akan dilaksana bagi mengurangkan kemalangan, terutama yang membabitkan pemanduan bawah pengaruh alkohol serta dadah.
“Kita mengaku isu sebegini merupakan isu besar kepada masyarakat… ia meragut nyawa manusia dan sudah tentu setiap kali apabila berlaku kemalangan, ia akan mendapat perhatian cukup besar daripada masyarakat.
“Jadi, kita perlu membuat respons lebih cepat untuk memastikan keselamatan jalan raya terjamin. MOT akan terus memastikan langkah keselamatan dapat diambil, dan perubahan dari segi pindaan kepada undang-undang akan sentiasa dikaji,” katanya.-BH Online
