KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara akan memperkenalkan Modul Pendayaupayaan Keharmonian Merentas Agama dan Budaya sebagai inisiatif berterusan bagi memperkasakan penerapan nilai insaniah, adab serta budi pekerti dalam masyarakat.
Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini, modul terbabit akan diperkenalkan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Dalam kenyataan sama, Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata modul itu dibangunkan secara komprehensif sebagai rujukan utama pegawai agensi kerajaan.
“Di samping itu, ia turut boleh dimanfaatkan oleh sektor swasta dan masyarakat umum,” katanya.
Menurut kenyataan itu, modul berkenaan dirangka dengan pendekatan lebih dinamik dan berimpak tinggi melalui penggunaan kaedah komunikasi yang inklusif serta sensitif budaya.
Selain itu, katanya, ia menekankan elemen latihan praktikal berasaskan situasi sebenar dalam komuniti bagi memastikan kefahaman lebih mendalam dan aplikasi berkesan di lapangan.
Justeru, kementerian itu berkata, prinsip ‘faham, hormat, terima dan meraikan’ perlu dijadikan panduan dalam kehidupan harian rakyat sebagai teras kepada pembinaan integrasi nasional yang utuh.
Katanya, setiap individu memainkan peranan penting sebagai agen perpaduan dalam membina masyarakat yang saling memahami, menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.
“Dalam usaha berterusan memperkukuhkan pemahaman antara agama di negara ini, Kerajaan MADANI menegaskan komitmen teguh untuk memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara dan diperkasakan,” menurut kenyataan itu lagi.
Kementerian Perpaduan Negara berkata, kepelbagaian agama, kaum serta etnik di Malaysia bukan sekadar realiti sosial, malah adalah aset terbesar negara yang menjadi asas kepada kekuatan dan kestabilan nasional.-BH Online
