Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal menawarkan proses mediasi secara pro bono kepada pihak yang mempunyai pertikaian perundangan membabitkan semua jenis kontrak bernilai RM250,000 ke bawah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata proses berkenaan dijangka mula ditawarkan kepada umum menjelang Mei ini.

Beliau berkata, pihak yang mahu menggunakan perkhidmatan itu perlu merujuk pertikaian perundangan terbabit kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

“Bantuan berkenaan diberikan selepas mengambil kira proses mediasi ketika ini hanya boleh diadakan selepas pihak yang mempunyai pertikaian perundangan memfailkan kes mereka di mahkamah.

“Jadi kita harap (perkhidmatan ini) dapat membantu mereka menyelesaikan pertikaian melalui proses mediasi dengan kos guaman akan diserap oleh AIAC,” katanya pada sidang media Simposium Seniman di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching; Ketua Pengarah Insolvensi, Datuk Ishak Bakri dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Hans Isaac.-BH Online