Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JASIN: Melaka berkemungkinan terpaksa melakukan catuan air sekiranya rakyat tidak mengamalkan penjimatan dalam penggunaan sumber itu, terutama ketika cuaca panas berpanjangan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kerajaan negeri tidak dapat memberi jaminan bahawa catuan tidak akan berlaku kerana keadaan itu bergantung sikap pengguna.

Justeru, katanya langkah catuan akan dilaksanakan sekiranya paras sumber air mencapai tahap yang memerlukan tindakan kawalan bagi memastikan bekalan dapat digunakan dalam tempoh lebih panjang.

“Jika paras air menunjukkan keperluan untuk kita melaksanakan catuan, langkah itu pasti akan dibuat bagi memastikan bekalan air dapat dikawal dan bertahan lebih lama sebelum mencapai paras kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan ke tapak Projek Loji Empangan Jus Fasa 2 di Empangan Jus, di sini hari ini. 

Ab Rauf berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan Melaka akan berdepan cuaca panas berpanjangan dan taburan hujan rendah sehingga September depan, sekali gus meningkatkan risiko penyusutan sumber air di setiap empangan negeri ini. 

Berikutan itu, katanya pihaknya melakukan pelbagai langkah termasuk akan melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam masa terdekat ini. 

Setakat ini, beliau berkata METMalaysia sedang menilai keadaan cuaca, termasuk kesesuaian awan dan atmosfera, bagi memastikan operasi itu boleh dijalankan dengan lebih berkesan.

“Dengan kapasiti simpanan semasa sekitar 300 juta liter, bekalan air negeri masih mampu bertahan sehingga November sekiranya penggunaan dapat dikawal dengan baik.

“Kerajaan negeri akan terus komited memastikan sumber air kekal mencukupi dan mampu menampung keperluan rakyat dalam apa jua keadaan,” katanya.-BH Online