PUTRAJAYA: Jemaah Menteri mempertimbangkan untuk menempatkan anggota polis di stesen minyak berdekatan sempadan negara bagi mempertingkatkan aspek keselamatan di lokasi berisiko tinggi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dibincangkan susulan makluman daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung beberapa penahanan yang dilakukan di stesen minyak di kawasan sempadan.
“Jemaah Menteri dimaklumkan oleh pihak KPDN bahawa akibat daripada penahanan dilakukan terutama di stesen minyak di sempadan negara, maka beberapa aspek membabitkan keselamatan perlu dipertingkatkan.
“Jemaah Menteri sedang mempertimbangkan keperluan kehadiran anggota keselamatan khususnya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan aspek keselamatan di stesen minyak di sempadan dipertingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet dan Taklimat Harian Krisis Tenaga Global, di sini, hari ini.
Pada sesi taklimat krisis tenaga global baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan bersetuju menetapkan agensi peneraju utama bagi tiga sektor yang dikenal pasti bagi membendung ketirisan.
Kataya, ia membabitkan sektor darat yang akan diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Sektor sempadan pula akan diterajui oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala sektor perairan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Beliau berkata, bagi mempertingkat dan memperkukuh kawal selia terhadap aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke pakal atau bunkering, mesyuarat bersetuju menubuhkan pasukan khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.
Selain itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri hari ini memutuskan penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara sebagai langkah memperkukuhkan pengurusan bencana di peringkat Persekutuan dan negeri.
Beliau berkata, majlis itu akan merangkumi semua Menteri Besar, Ketua Menteri serta Premier Sarawak sebagai ahli tetap.
“Jemaah Menteri pada hari ini meneliti dan memutuskan penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara. Majlis ini akan merangkumi sebagai ahli tetap semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier Negeri Sarawak.
“(Mesyuarat majlis ini) akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang diadakan secara berkala,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan bertindak sebagai sekretariat Majlis Pengurusan Bencana Negara.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung lanjutan Tahun Melawat Malaysia 2026 sehingga penghujung 2027.
“Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing juga memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa terdapat keperluan untuk meneliti sektor sama ada penerbangan mahupun hospitaliti.
“Ia untuk memastikan mereka tidak terkesan terlalu berat akibat daripada krisis tenaga global dan juga konflik di Asia Barat,” katanya.-BH Online
