Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Peruntukan hukuman dikenakan ke atas pemandu mabuk khususnya yang mengakibatkan kemalangan maut perlu ditingkatkan bagi membangkitkan rasa gerun dalam kalangan masyarakat.

Mengakui wujud keperluan sedemikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan peruntukan undang-undang sedia ada masih rendah jika dibanding dengan kesalahan dilakukan.

“Apatah lagi sehingga mengakibatkan orang tidak bersalah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri dan menyampaikan ucapan pada Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel (CLEA) 2026, di sini hari ini.

Beliau menyarankan kementerian bertanggungjawab melihat semula peruntukan undang-undang sedia berkaitan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk.

“Dari segi hukumannya macam mana? Mungkin kementerian yang berkenaan kena tengok pada akta dia, boleh bawa ke Parlimen dan minta pindaan setimpal, hukuman yang lebih berat. Itu tertakluk kepada kementerian itu. 

“Pada saya, mungkin rakyat Malaysia kena tengok hukuman itu (berat), baru dia macam (rasa) was-was (gerun). Sebab kalau tidak, mungkin dia rasa boleh (bayar saman atau denda). Kalau kata (denda) RM50,000 boleh dapat diskaun RM20,000. Mungkin itu (pandangan masyarakat),” katanya.

Azalina berkata, sebagai pengamal undang-undang, beliau melihat kesedaran rakyat untuk mengelak daripada melakukan kesalahan ada kalanya perlu dibuat menerusi peruntukan undang-undang yang setimpal dan berat. 

“Kadang-kadang rakyat ini, kita kena (jelaskan hukuman) undang-undang itu, mungkin kena buat pindaan supaya undang-undang dapat nyatakan bawah ini kesalahan, itu denda. Kalau dia tengok denda itu rendah, dia rasa benda itu dia boleh bayar,” katanya.

Mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) ketika ini, mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga terbabit kemalangan menyebabkan kematian boleh dipenjara antara 10 tahun hingga 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan berulang, hukumannya lebih berat, iaitu penjara tidak kurang 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta denda antara RM100,000 hingga RM150,000.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini dilaporkan berkata, kementeriannya sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Seksyen 44 Akta 333 yang mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain daripada hukuman penjara yang dikenakan.

Kali terakhir Akta 333 dipinda bagi meningkatkan hukuman dan dendanya adalah pada 2020 membabitkan pindaan Seksyen 41 hingga Seksyen 45.

Dalam terbaharu, seorang pembantu makmal, R Saktygaanapathy, 28, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang kelmarin atas tuduhan membunuh seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat di Klang, Ahad lalu.

Lelaki berkenaan yang ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz Omar, 33, kira-kira jam 11.47 pagi Ahad lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.-BH Online