Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tujuh kapal milik Malaysia dijangka belayar dengan selamat melalui Selat Hormuz dalam beberapa hari lagi walaupun ketegangan di rantau itu semakin meningkat, susulan jaminan daripada Iran.

Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi, berkata Tehran dimaklumkan tentang kehadiran kapal-kapal berkenaan di Teluk Parsi serta hasrat mereka untuk melalui laluan perairan strategik itu.

“Kami menerima maklumat daripada Menteri Luar Malaysia bahawa beberapa kapal Malaysia berada di Teluk Parsi dan ingin melalui laluan tersebut.

“Kami telah mempertimbangkan perkara ini dan insya-Allah mereka akan melaluinya. Tiada masalah kerana Malaysia ialah negara sahabat, dan negara sahabat boleh menggunakan selat ini,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama New Straits Times di Kedutaan Iran di sini semalam.

Ditanya sama ada kapal Malaysia akan dikenakan caj tol, Valiollah berkata mereka dibenarkan melalui selat itu tanpa sebarang bayaran.

“Sudah tentu (kapal Malaysia bebas untuk melalui). Kami tidak akan mengenakan caj,” tambahnya.

Sabtu lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tujuh kapal tangki milik Malaysia sedang menunggu kebenaran untuk melalui Selat Hormuz.

Kapal-kapal berkenaan terdiri daripada tiga milik Petronas, dua milik MISC Bhd, serta masing-masing satu milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation Sdn Bhd.

Beliau berkata kapal-kapal itu tidak ditahan, sebaliknya sedang menunggu waktu yang selamat dan isyarat rasmi untuk meneruskan perjalanan. Empat daripada kapal berkenaan dilaporkan membawa minyak mentah.

Sekatan terhadap pergerakan kapal di selat itu berlaku selepas Iran mengehadkan transit melalui laluan penting global itu yang biasanya mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia, sebagai tindak balas terhadap serangan dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel kira-kira sebulan lalu.

Selatan Hormuz tak ditutup sepenuhnya

Sementara itu, Valiollah berkata Selat Hormuz kekal terbuka kepada perkapalan antarabangsa, sambil menyifatkan sekatan terpilih itu sebagai tindak balas sah terhadap serangan baru-baru ini dan menolak dakwaan bahawa selat tersebut ditutup sepenuhnya.

Beliau berkata akses ke laluan strategik itu kini dihadkan secara terpilih, dengan negara yang terlibat atau menyokong serangan terhadap Iran dilarang melaluinya.

Tambahnya, Iran terus membenarkan laluan bagi negara sahabat, tertakluk kepada penyelarasan dengan pihak berkuasa mereka.

Beliau menegaskan langkah itu bukanlah penutupan selat, tetapi tindak balas bersasar berasaskan undang-undang antarabangsa.

“Saya ingin tegaskan Selat Hormuz tidak ditutup. Ia dihadkan untuk sesetengah pihak, bukan semua.

“Jika anda menyerang Iran, anda tidak boleh menggunakan selat ini. Tetapi kami tidak menutupnya,” katanya.

Iran dikenakan sekatan diketuai AS sejak 1979, susulan Revolusi Islam dan kemerosotan hubungan diplomatik selepas itu, dengan sekatan diperluaskan selama beberapa dekad meliputi sektor tenaga, kewangan dan perkapalan.

Walaupun begitu, Selat Hormuz kekal terbuka kepada perkapalan antarabangsa sebelum konflik terkini. Penutupan atau sekatan terhadapnya menyebabkan lonjakan harga bahan api global.

Campur tangan tentera laut asing

Valiollah turut menolak kemungkinan campur tangan tentera laut asing di kawasan tersebut, susulan laporan bahawa AS meminta sokongan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk mengiringi kapal melalui selat itu.

Beliau berkata tiada maklum balas bermakna daripada NATO, dan menambah bahawa sebarang kehadiran sedemikian akan dilihat oleh Tehran sebagai sokongan terhadap pencerobohan AS.

Mengenai kenaikan harga bahan api global, Valiollah berkata Iran secara sejarahnya tidak menutup selat itu walaupun berdepan sekatan selama beberapa dekad, kerana mengambil kira kesan terhadap pasaran global.

“Iran telah dikenakan sekatan selama 47 tahun, tetapi kami tidak pernah menutup Selat Hormuz. Kami boleh melakukannya, tetapi kami tidak berbuat demikian.

“Jika kami menutupnya, orang di seluruh dunia akan menderita. Kami mempunyai masalah dengan AS, tetapi kami tidak mahu meluaskan masalah itu kepada negara lain atau pasaran global.”

Namun, beliau memberi bayangan bahawa situasi semasa menunjukkan perubahan pendekatan, dengan negara yang melakukan serangan dipersalahkan atas kenaikan harga bahan api.

“Tetapi sekarang ia berbeza. Jika seseorang menyerang rumah anda dan kemudian mahu menggunakan selat anda, sudah tentu anda akan mengatakan tidak,” katanya.-BH Online