Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KAJANG: Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah diyakini antara penyelesaian paling berkesan bagi menangani isu ketidakhadiran pelajar, termasuk mampu mengurangkan jumlah calon SPM yang tidak hadir menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, walaupun jumlah calon SPM 2025 bagi sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang tidak hadir menurun kepada 5,032 calon berbanding 6,246 calon bagi SPM 2024, langkah proaktif tetap diambil secara berterusan bagi memastikan kehadiran penuh bagi SPM pada masa akan datang. 

“Dalam konteks ini, kita masih meneruskan semua intervensi di semua peringkat, walaupun dari segi kehadiran (calon SPM 2025), ia telah berkurangan, intervensi harus diperkukuh. 

“Kita dah ada Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah yang saya pasti akan berikan kesan secara keseluruhan, kedua kita juga akan lihat kembali program sokongan supaya mereka dapat meneruskan pengajian (selepas SPM) dan juga kehadiran ke sekolah. 

“Ada penurunan (jumlah ketidakhadiran calon SPM) tetapi masih ada perkara perlu diambil perhatian serius termasuk di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan calon SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang, di sini, hari ini.

Analisis keputusan SPM 2025 mencatatkan seramai 5,032 calon sekolah KPM atau 1.42 peratus tidak hadir menduduki peperiksaan itu berbanding 6,246 calon (1.81 peratus) pada 2024.

Ini menunjukkan penurunan seramai 1,214 calon, sekali gus menunjukkan keberkesanan pelbagai intervensi dan inisiatif dilaksanakan KPM.-BH Online