SHAH ALAM: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan Malaysia kini beroperasi dalam mod krisis, susulan konflik di Asia Barat yang semakin memuncak.
Beliau berkata Kabinet awal hari ini diberi mengenai situasi yang semakin meruncing, sambil menekankan tahap keseriusannya apabila kos tenaga meningkat lebih daripada 100 peratus sepanjang bulan lalu.
Walaupun kesan penuh masih belum dirasai, katanya rakyat Malaysia tidak seharusnya memandang ringan keadaan ini dan digesa untuk mengamalkan langkah penjimatan bahan api bagi mengurangkan potensi gangguan sekiranya konflik berterusan.
“Ini bukan perkara yang boleh dibuat gurauan. Ia adalah perkara yang sangat, sangat serius,” katanya ketika berucap pada majlis pembiayaan sekolah untuk SMKJ Chan Wa di sini hari ini.
Sepanjang sebulan lalu, Loke berkata kos tenaga meningkat lebih 100 peratus, dengan banyak industri terjejas.
“Beberapa negara sudah berada dalam mod kecemasan. Sebagai contoh, Filipina telah mengisytiharkan darurat tenaga.
“Negara berhampiran kita seperti Thailand dan Vietnam juga sudah berdepan kekurangan bekalan, dengan orang ramai beratur untuk mendapatkan bahan api.
“Syukurlah keadaan ini belum berlaku di negara kita. Tetapi kita tidak boleh mengambil mudah kerana lambat laun, kita akan merasai kesannya,” katanya.
Dalam pada itu, Loke memberi amaran bahawa walaupun kesan penuh masih belum dirasai, rakyat Malaysia perlu mula mengamalkan tabiat penjimatan bahan api bagi mengurangkan kesan gangguan sekiranya konflik berpanjangan.
“Kita tidak boleh membazir sumber. Sumber tidak tidak terhad dan boleh habis.
“Contohnya dalam pengangkutan, kita perlu menggalakkan orang ramai merancang perjalanan dengan lebih efisien. Rakyat Malaysia cenderung bergantung kepada pemanduan kerana petrol disubsidi.
“Tetapi kita mesti mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dan menjadi lebih efisien. Jika ada pilihan untuk menggunakan pengangkutan awam, sila gunakannya,” katanya.
Beliau turut menggesa syarikat mengambil langkah proaktif untuk menjimatkan tenaga.
“Majikan perlu menggalakkan pekerja berkongsi kenderaan. Ini langkah mudah yang boleh kita ambil sebagai komuniti dan individu.
“Jika kita tidak mula melakukannya sekarang, kita akan berdepan risiko lebih besar pada masa hadapan sebagai sebuah negara,” katanya.
Risiko ketidaktentuan dalam beberapa bulan
Tambah Loke lagi, walaupun bekalan bahan api masih stabil buat masa ini, ketidaktentuan tetap wujud dalam beberapa bulan akan datang.
“Malaysia ialah negara pengeluar minyak, tetapi kita masih bergantung kepada bekalan global. Fokus kerajaan sekarang adalah untuk memastikan bekalan bahan api dapat dikekalkan.
“Bekalan semasa kita dijangka tidak terganggu sehingga Mei. Tetapi jika perang berlanjutan, kita tidak dapat menjamin bekalan tidak akan terjejas. Ini sesuatu yang perlu diberi perhatian serius oleh kita semua,” katanya.
Beliau berkata situasi ini juga harus menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup lebih lestari, termasuk mengurangkan pembaziran makanan.
“Kita kini mempunyai bekalan ayam dan telur yang mencukupi. Jadi dari segi sumber protein, kita boleh mengambil lebih banyak ayam dan telur.
“Pembaziran makanan adalah isu besar di negara ini. Kita membuang bertan-tan makanan setiap hari.
“Ini bukan sahaja membazir kos makanan, tetapi juga kos pengurusan sisa. Ia adalah pembaziran berganda,” katanya.
Dalam pada itu, Loke menegaskan beliau bukan berniat untuk meberikan gambaran suram terutama selepas sambutan perayaan baru-baru ini, tetapi menegaskan kepentingan kesedaran dan persediaan.
“Pada masa sama, kita mesti terus melakukan perkara baik. Kita perlu memelihara keamanan dan keharmonian, serta mengekalkan sikap positif sambil memperbaiki diri dan mengubah tabiat,” katanya.
Konflik di Asia Barat memuncak pada 28 Feb susulan serangan ketenteraan berskala besar oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas beberapa lokasi di Iran, yang menurut Tehran menyasarkan infrastruktur awam dan strategik.
Serangan mencetuskan krisis serantau lebih luas, dengan tindakan balas Iran termasuk sekatan terhadap pergerakan kapal di Selat Hormuz, yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan tenaga global dan laluan perkapalan.-BH Online
