KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran tegas terhadap sebarang tindakan persatuan industri pelancongan yang menetapkan kadar tambang baharu kerana berpotensi melanggar undang-undang persaingan dan menjejaskan pasaran pelancongan negara.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kementerian memandang serius inti pati sidang media Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) semalam yang mengumumkan kadar tambang siling baharu bagi bas dan van persiaran berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, walaupun kerajaan memahami kenaikan harga diesel memberi implikasi kos kepada industri, semua pihak perlu meneliti tindakan yang diambil supaya tidak bercanggah dengan kerangka perundangan yang sedang berkuat kuasa.
“Sebarang bentuk perjanjian, persefahaman atau keputusan bersama oleh persatuan berkaitan berkenaan penetapan harga, termasuk penetapan tambang minimum atau siling adalah dilarang.
“Ia mengandungi elemen kartel yang menjejaskan pasaran pelancongan negara. Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang meneliti tindakan persatuan-persatuan ini di bawah Seksyen 4(2)(a), Akta Persaingan 2010,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, MITA mengumumkan kadar tambang siling baharu bagi bas dan van persiaran berkuat kuasa serta-merta bagi membantu operator dan pelancong menyesuaikan diri dengan kenaikan harga diesel.
Menerusi kenyataan, MITA memaklumkan langkah itu diambil berikutan bas dan van persiaran serta feri tidak dimasukkan dalam mekanisme subsidi diesel negara sejak subsidi pukal dimansuhkan pada 2024.
Kadar tambang bas persiaran kini ditetapkan sehingga RM1,100 bagi siri lawatan dan antara RM1,900 hingga RM2,200 untuk lawatan harian domestik, manakala kos sewaan van pula adalah sehingga RM900 bagi siri lawatan.
Perjalanan bas dari Kuala Lumpur ke Kelantan akan menelan belanja sebanyak RM2,400, manakala perjalanan ke Pulau Pinang dan Ipoh pula berharga RM1,900.
Kadar baharu itu akan berkuat kuasa sehingga esok (1 April), namun MITA tidak menyatakan sama ada kadar berkenaan akan diteruskan selepas tarikh berkenaan.-BH Online
