Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LANGKAWI, 29 Mac – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) optimis sasaran kedatangan 3.65 juta pelancong ke Pulau Langkawi, mampu dicapai disebalik konflik yang sedang melanda Asia Barat ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus yakin sasaran itu mampu dicapai hasil promosi yang sedang diperhebatkan pihaknya ke negara yang tidak terkesan dengan konflik berkenaan.

Selain itu, LADA juga menggalakkan promosi terhadap pelancong domestik.

Usaha itu termasuk memperkukuh promosi Malaysia sebagai destinasi alternatif yang selamat dan pelbagai.

“Dan kita akan tekankan kepada program pelancong domestik, sudah tentu kita ada beberapa isu yang perlu kita teliti. Kita tidak boleh mengabaikan pelancongan dalam negara kerana itu yang paling dekat dengan kita dan paling aman,” katanya ketika ditemui RTM selepas majlis menandatangi Memorandum Perjanjian (MoA) antara LADA dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kompleks LADA, hari ini.

MoA itu merupakan perjanjian kerjasama bagi penganjuran program Master in Business Administration (MBA) di Pulau Langkawi.

Hadir sama, Rektor UiTM Cawangan Kedah, Profesor Madya Dr. Mahazir Ismail.

Program pengajian selama dua tahun itu akan disertai oleh 20 pelajar yang dijangka memulakan sesi akademik pada 4 April ini dan akan dikendalikan oleh pensyarah dari UiTM Kedah serta Arshad Ayub Graduate Business School.-Berita RTM