Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Kerajaan akan mengadakan pertemuan esok, dengan pemain industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meneliti kesan dihadapi mereka dalam mendepani cabaran konflik dunia yang berlaku ketika ini.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata hasil pertemuan itu akan dibawa pula ke sidang Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berlangsung Selasa ini sebelum diangkat ke Kabinet keesokannya.

“Semua perbincangan dalam soal kesan konflik ini akan dibuat di MTEN yang diaktifkan sejak konflik bermula dengan pertemuan dibuat secara mingguan.

“Minggu depan, MTEN akan bersidang pada Selasa dan jika ada sebarang keputusan, kita bawa ke Kabinet pula pada Rabu.

“Jadi, pada peringkat Kementerian Ekonomi, esok kita akan tumpukan dulu perbincangan dengan sektor khusus bagi kita teliti maklum balas atau cabaran mereka, supaya kita dapat bantu meredakan kesan dan memastikan pertumbuhan ekonomi itu tetap berlaku,” katanya di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Johor Bahru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas unjuran pertumbuhan ekonomi negara, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, berkata menjadi tugas Bank Negara (BNM) untuk mengemas kini unjuran pertumbuhan ekonomi selaras dengan perubahan keadaan semasa.

Namun, katanya, tugas Kementerian Ekonomi pula adalah meneliti kebajikan rakyat dari semasa ke semasa. 

“Apabila negara memasuki 2026, kita berpegang kepada unjuran pertumbuhan ekonomi antara 4 hingga 4.5 peratus, namun kita perlu mengambil kira beberapa perkara semasa termasuk isu geopolitik, gangguan kepada rantaian bekalan dan sebagainya.

“Pada peringkat Kementerian Ekonomi, dalam menghadapi konflik ketika ini, kita perlu mengimbangi beberapa perkara, antaranya tekanan terbesar dihadapi terkait dengan isu bekalan minyak,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata, imbangan perlu terus dibuat antara kesan kepada kebajikan rakyat dengan pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita sedia memantau dan meneliti kesan jangka sederhana dan jangka panjang terutama yang terkait dengan pertumbuhan ekonomi, jadi sebab itu dalam menguruskan atau memastikan pertumbuhan berlaku, kena pastikan perbelanjaan terus ada dan pelaburan daripada swasta itu juga terus masuk,” katanya.-BH Online