Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi memberi jaminan untuk memudahcara penyaluran 374 tan bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui pintu sempadan Rafah bermula April ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dizahirkan dalam pertemuannya bersama Presiden Mesir baru-baru ini.

Menurut beliau, jaminan berkenaan membolehkan bantuan disalurkan segera kepada lebih 100,000 penduduk Gaza yang amat memerlukan.

“Presiden El-Sisi memberikan jaminan dan komitmen jelas untuk memastikan akses ini dipermudah, sekali gus membolehkan bantuan segera disalurkan kepada rakyat Gaza,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah beliau, Malaysia tidak akan tunduk kepada sebarang halangan, khususnya daripada rejim Zionis Israel yang didakwa menghalang usaha penyaluran bantuan kemanusiaan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai negara yang berprinsip dalam mempertahankan hak golongan tertindas di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau turut memohon doa agar segala urusan penyaluran bantuan berkenaan dipermudah dan sampai dengan selamat kepada rakyat Gaza.-Berita RTM