Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MINNEAPOLIS: Gelombang kemarahan rakyat Amerika Syarikat (AS) terhadap Presiden Donald Trump semakin memuncak apabila jutaan membanjiri jalanan di seluruh negara pada Sabtu untuk membantah pentadbiran autoritarian, dasar imigrasi yang keras serta peperangan dengan Iran. 

Penganjur perhimpunan mendakwa sekurang-kurangnya lapan juta peserta berkumpul di lebih 3,300 acara meliputi 50 negeri, merangkumi kawasan bandar besar hingga ke pelosok pekan kecil, meskipun pihak berkuasa persekutuan tidak mendedahkan sebarang anggaran rasmi jumlah kehadiran.

Gerakan besar-besaran ini menandakan kali ketiga rakyat AS turun ke jalanan dalam tempoh kurang setahun di bawah gerakan ‘No Kings’.

Gerakan itu kini menjadi saluran penentangan paling lantang dan nyata terhadap Trump sejak penggal kedua kepimpinan beliau bermula pada Januari 2025.

Di New York, puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun termasuk pemenang Oscar, pelakon Robert De Niro, yang menyifatkan presiden itu sebagai ancaman terhadap kebebasan dan keselamatan negara.

Susulan protes yang bermula dari Atlanta hingga ke San Diego turut menyaksikan penglibatan veteran tentera, Marc McCaughey, yang menegaskan tiada kerajaan boleh memerintah tanpa persetujuan rakyat. 

Beliau menyuarakan kebimbangan Perlembagaan AS kini terancam dalam pelbagai aspek yang membuktikan situasi semasa negara tidak lagi berada dalam keadaan normal. 

Sementara itu, di Washington, peserta perarakan membanjiri National Mall dengan membawa sepanduk menuntut Trump meletak jawatan serta mendesak agar amalan fasisme dihentikan.

Sentimen anti-Trump ini turut melangkaui sempadan benua apabila perhimpunan serupa dilaporkan berlaku di beberapa bandar utama Eropah seperti Amsterdam, Madrid, dan Rom.

Di Rom sahaja, kira-kira 20,000 individu berarak di bawah pengawasan ketat polis sebagai tanda solidariti. Statistik menunjukkan kadar kelulusan rakyat terhadap Trump kini merosot di bawah 40 peratus, sekali gus meletakkan Parti Republikan dalam risiko kehilangan kawalan ke atas Kongres menjelang pilihan raya pertengahan penggal November ini.

Pihak lawan mengecam tindakan Trump yang gemar memerintah melalui dekrit eksekutif serta didakwa menggunakan Jabatan Keadilan bagi mendakwa musuh politik. 

Selain itu, penglibatan ketenteraan AS yang semakin dalam di rantau asing menjadi titik tolak kemarahan persatuan veteran seperti Common Defense. 

Jurucakapnya, Naveed Shah, berkata pentadbiran semasa AS telah mengheret rakyat ke kancah peperangan selain menyaksikan komuniti pendatang menjadi sasaran keganasan pasukan separa tentera di jalanan.

Kemuncak protes di Minnesota menyaksikan kehadiran tokoh politik sayap kiri, Bernie Sanders, yang menegaskan bahawa rakyat tidak akan menerima pemimpin yang merosakkan kedaulatan undang-undang setiap hari. 

Suasana di St Paul pula digemparkan dengan persembahan bintang rock legenda, Bruce Springsteen, yang mendendangkan lagu Streets of Minneapolis. 

Muzik protes itu digubah khas bagi memperingati dua warga AS, Renee Good dan Alex Pretti, yang maut ditembak ejen persekutuan semasa tindakan operasi jabatan imigrasen AS pada Januari lalu, sebagai simbol pengorbanan. – AFP