Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AYER KEROH, 28 Mac – Pelaksanaan peraturan kerja lebih anjal termasuk bekerja dari rumah (BDR) perlu dilaksanakan mengikut kesesuaian sektor serta jenis tugasan yang dijalankan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, tidak semua sektor boleh melaksanakan kaedah tersebut kerana sebahagian tugas masih memerlukan kehadiran fizikal bagi memastikan kelancaran operasi organisasi.

Menurut beliau, pelaksanaan BDR perlu diperhalusi dan diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Pelaksanaan bekerja dari rumah perlu dilihat mengikut kesesuaian portfolio kerana tidak semua sektor boleh melaksanakannya, terutama yang memerlukan kehadiran fizikal untuk memastikan operasi berjalan lancar.

“Justeru, perkara ini perlu diperhalusi dan diteliti terlebih dahulu bagi menilai kebolehupayaan pelaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat (MESRA) Peringkat Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.

Pada majlis berkenaan, lebih 40,000 rakyat Melaka serta pengunjung dari luar negeri diraikan sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat.

Program itu turut memberi peluang kepada pengusaha dan peniaga makanan untuk bersama-sama menjayakan sambutan, sekali gus memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.-Berita RTM