Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah restoran di Genting Highlands susulan dakwaan hidangan ikan patin kukus dijual melebihi RM900.

Menurut laporan Sinchew, pemeriksaan itu dijalankan di sebuah restoran di pusat peranginan itu semalam dan mengesahkan bahawa harga hidangan sudah dinyatakan dengan jelas dalam menu iaitu RM33.80 bagi setiap 100g.

Bagaimanapun, pihak berkuasa sudah mengeluarkan notis dan meminta restoran berkenaan menyerahkan maklumat terperinci mengenai kos dan penetapan harga dalam tempoh empat hari bekerja bagi menentukan sama ada wujud unsur pengambilan untung berlebihan.

Tegas KPDN, pemilik perniagaan perlu memastikan harga jualan tidak melebihi 100 peratus daripada kos barangan selepas mengambil kira perbelanjaan operasi, selaras peraturan untuk membendung pengambilan untung berlebihan.

Kontroversi itu tercetus selepas 13 pelancong mendakwa mereka dikenakan bayaran lebih RM902 bagi hidangan terbabit, Isnin lalu.

Sementara itu, pemilik restoran berkenaan mendakwa bahawa ikan sungai liar seperti patin jarang ditemui dan harganya ditetapkan mengikut berat, tanpa sebarang caj tersembunyi.

Katanya, harga ikan patin seberat 2.7 kilogram itu dijual pada harga RM338 sekilogram. 

Bagaimanapun, pemilik restoran mengakui komunikasi mengenai jumlah harga keseluruhan yang kurang memuaskan menimbulkan rasa tidak puas hati oleh pelanggan.

Susulan itu, pemilik restoran berkenaan berjanji akan meningkatkan ketelusan dengan memaklumkan jumlah kos hidangan laut lebih jelas sebelum pesanan disahkan. 

Mereka juga sudah menghubungi pelanggan yang terkesan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Dalam pada itu, seorang daripada pekerja restoran juga berkata, beliau sudah menjelaskan mengenai harga dan jenis ikan, malah separuh bahagian dicadangkan mengikut saiz kumpulan.-BH Online