Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ALOR SETAR, 28 Mac – Sekolah di daerah Kota Setar dan Pendang akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama tiga hari bermula esok (29 Mac) hingga 31 Mac ini susulan cuaca panas berterusan.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas kedua-dua daerah merekodkan suhu harian Tahap 2 selama tiga hari berturut-turut bermula 26 hingga 28 Mac.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan PdPR melibatkan keseluruhan 206 sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar dan Pendang.

“Langkah ini diambil selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta warga sekolah sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

JPN Kedah memaklumkan pengoperasian sekolah secara bersemuka akan disambung semula sekiranya keadaan cuaca kembali normal berdasarkan penilaian semasa.

Menurutnya, pihaknya akan terus memantau perkembangan cuaca dan memaklumkan sebarang perubahan dari semasa ke semasa.

Semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru serta ibu bapa dan penjaga diminta memberi kerjasama bagi memastikan pelaksanaan PdPR berjalan lancar.-Berita RTM