Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di peringkat akhir untuk membentangkan kepada Kabinet cadangan memperkenalkan Skim Pengembara di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menterinya, Datuk Seri R Ramanan, berkata skim itu bakal memberi perlindungan sosial kepada lebih 400,000 rakyat Malaysia yang berulang alik bekerja di Singapura.

Selain itu, beliau berkata KESUMA juga di peringkat akhir kajian untuk memperluaskan perlindungan sosial kepada golongan ibu bersalin, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara.

“Ini adalah komitmen berterusan KESUMA dalam memperkukuh tenaga kerja negara, selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Genap 100 hari menerajui KESUMA, Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata fokus utama pihaknya adalah memastikan setiap dasar yang dilaksanakan memberi impak langsung kepada rakyat, khususnya dalam aspek perlindungan sosial, pembangunan kemahiran dan kebajikan pekerja.

Antara usaha utama yang berjaya direalisasi adalah memperkenal Skim Lindung 24/7 kepada pekerja di bawah PERKESO yang bakal memberi manfaat kepada hampir 10 juta pekerja formal di seluruh negara. 

Langkah itu disifatkan sebagai pembaharuan signifikan dalam memperluas jaringan keselamatan sosial negara, sekali gus memastikan pekerja dilindungi tanpa mengira waktu bekerja.

“Dalam tempoh singkat ini, kita memberi keutamaan kepada inisiatif yang bersifat menyeluruh dan berjangka panjang, bukan sekadar penyelesaian sementara,” katanya.

Dalam sektor pelancongan, KESUMA turut melaksanakan inisiatif proaktif dengan menawarkan latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (SITI) secara percuma kepada 10,000 pekerja industri pelancongan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Berhubung usaha memperkukuh kebajikan bekas anggota keselamatan, Ramanan berkata PERKESO turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran bagi membangunkan ekosistem bersepadu untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Melalui kerjasama itu, katanya seramai 5,000 veteran disasarkan menerima penempatan pekerjaan menerusi Program LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs Wira menjelang 2030.

Mengulas lanjut, beliau berkata KESUMA turut menumpukan pembangunan bakat melalui pelaksanaan program Upskilling dan Reskilling di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) melalui Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) yang dijangka memberi manfaat kepada 90,000 individu.

“Inisiatif ini penting bagi memastikan tenaga kerja negara kekal relevan dan matlamat kita bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, tetapi memastikan veteran ATM memperoleh pendapatan bermaruah setaraf kepakaran serta disiplin tinggi yang mereka miliki,” katanya.

Sepanjang 100 hari memimpin KESUMA, Ramanan turut melancarkan Program Kemahiran VETRI MADANI 2026, yang menjadi antara inisiatif berimpak tinggi dalam memperkasa komuniti. 

Program bernilai RM10 juta dengan sokongan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) serta kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) itu menyasarkan komuniti India daripada golongan B40 melalui latihan kemahiran teknikal, kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan, di samping penempatan pekerjaan.-BH Online