KOTA TINGGI: Malaysia tidak boleh membuat keputusan secara unilateral untuk membawa pulang anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 dari Lubnan kerana tertakluk kepada mandat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata penugasan pasukan pengaman Malaysia berada di bawah pentadbiran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk soal pemerintahan dan pengunduran anggota.
“Semua keputusan tertakluk kepada PBB dan bila kita setuju dulu dari segi keputusan atau arahan itu, penugasan dan pemerintahan pasukan jatuh di bawah PBB.
“Jadi, kita tak boleh tiba-tiba kata nak balik, nanti apa semua orang kata mengenai tentera Malaysia. Jadi, kita kena faham bagaimana prosesnya jika ia hendak dibuat.
“Namun, apa yang penting saya percaya kita akan tangguh semua peranan atau tanggungjawab yang ada, maksudnya andai kata krisis berlarutan, kalau kena ‘stay in bunker, staylah’, jangan keluar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Projek JanaVeteran Boustead Plantations Berhad di Ladang Telok Sengat di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu mengesahkan berlaku insiden pasukan MALBATT terserempak dengan anggota Israel Defense Forces (IDF), namun tiada perkara buruk berlaku.
“Memang ada berlaku serangan dan ada juga insiden yang mana mereka terserempak, bukan bertembung, hanya terserempak, tetapi IDF tidak buat apa-apa, memang ini insiden yang baru berlaku.
“Tetapi, kita bersyukur kerana tidak berlaku apa-apa insiden yang buruk. Saya sudah arahkan supaya benda ini jangan berulang. Jadi, kita minta supaya kena semaklah sesama sendiri dan kena jaga di Lubnan itu.
“Kita ini pasukan pengaman, kita tak ada bawa senjata untuk menyerang dan sebagainya, memang itu syaratnya, cuma kita tak jangka benda ini akan terjadi begini. Oleh itu, yang paling penting bagi kita ialah keutamaan menjaga keselamatan anggota-anggota kita,” katanya.
Rabu lalu, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, tiada anggota MALBATT 850-13 cedera dalam beberapa insiden letupan yang berlaku berhampiran kawasan operasi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di selatan negara itu.
Insiden berkenaan berlaku susulan ketegangan antara IDF dan Hizbullah di kawasan terbabit.-BH Online
