Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

REMBAU: Tujuh kapal tangki milik syarikat Malaysia kini berada dalam keadaan menunggu isyarat untuk bergerak melalui Selat Hormuz susulan situasi tegang di Asia Barat.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kapal itu membabitkan tiga milik PETRONAS, MISC Bhd (dua) dan masing-masing satu kapal membabitkan SAPURA Energy dan Shapadu Corporation Sdn Bhd.

Katanya, kapal berkenaan tidak ditahan sebaliknya hanya menunggu isyarat dan masa sesuai untuk bergerak pada bila-bila masa bagi memastikan keselamatan pelayaran.

“Kerajaan Malaysia juga melakukan rundingan awal bersama pihak Iran yang memberi maklum balas positif terhadap permohonan berkenaan.

“Saya sendiri membuat langkah rundingan bersama rakan sejawat dan perkara ini disusuli dengan panggilan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kepada Presiden Iran yang menguatkan lagi permohonan kita.

“Iran sendiri menyatakan tiada isu untuk membenarkan kapal kita melalui Selat Hormuz dan buat masa sekarang ini yang dilepaskan adalah kapal yang membawa kargo manakala bagi kapal tangki, mereka perlu tunggu dahulu,” katanya kepada media ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kediamannya di Kampung Tanjong Rantau, di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, komunikasi antara pusat arahan di Tehran dan komander di lapangan kadangkala terganggu akibat situasi konflik, menyebabkan pergerakan kapal perlu ditangguhkan sementara.

Beliau berkata, dalam keadaan semasa yang tegang, mereka perlu pastikan koordinasi berjalan lancar bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.

“Jadi kita telah minta, dia (Iran) kata nak tunggu ‘window’. Kadang-kadang dia punya komunikasi dekat sana susah juga. Tehran cakap ya, tetapi komander di lokasi perlu faham betul-betul, takut nanti ada insiden yang tidak ingin berlaku,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tujuh kapal milik syarikat Malaysia dengan empat daripadanya sarat membawa muatan minyak mentah dilaporkan terkandas di Selat Hormuz dan belum dapat meneruskan pelayaran pulang ke negara ini.

Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Ikmal Azam Thanaraj Abdullah, dilaporkan berkata dua lagi adalah kapal pemasangan paip dan kapal sokongan luar pesisir.

Sementara itu, Mohamad berkata komunikasi dengan rakyat Malaysia di Iran ketika ini terhad berikutan gangguan sistem namun pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan di negara berkenaan melalui alternatif yang ada.

Berhubung hasrat rakyat negara ini yang ingin menunaikan umrah, beliau berkata mereka boleh pergi kerana ruang udara antarabangsa dibuka seperti biasa, tambahan pula serangan membabitkan kawasan strategik yang mempunyai kepentingan dengan Israel.

“Bagaimanapun jika mereka boleh tangguh (menunaikan umrah), disaran menangguhkannya dulu kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam keadaan tidak menentu.

“Tetapi jika sudah dibuat tempahan (penerbangan) itu terpulanglah sebab penerbangan setakat ini tidak terjejas,” katanya.-BH Online