JOHOR BAHRU, 28 Mac – Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM152.88 juta sejak 2023 hingga kini bagi memperkasa pembangunan mahasiswa menerusi pelbagai inisiatif strategik.
Sepanjang tempoh sama, lebih 404,000 mahasiswa anak Johor menerima manfaat daripada bantuan yang disalurkan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sebanyak lapan inisiatif telah dilaksanakan sejak 2023 bagi memastikan golongan mahasiswa tidak tercicir dalam arus pembangunan ekonomi dan pendidikan.
“Peruntukan terbesar disalurkan menerusi Insentif Mahasiswa Anak Johor berjumlah RM49.6 juta, diikuti RM39.14 juta melalui Skim Pinjaman Pelajaran Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).
“Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan RM23.96 juta bagi Bantuan Laptop Siswa Johor serta RM17.9 juta untuk Skim Bantuan Pendaftaran.
“Usaha berterusan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif, di samping meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memperkukuh pembangunan modal insan negeri,” katanya.-Berita RTM
