Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

YAN, 27 Mac  – Masjid terapung yang dibina di Kampung Ruat, Yan dijangka siap sepenuhnya pada April depan dan berpotensi menjadi antara tarikan utama pelancongan di daerah itu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata pembinaan masjid berkenaan merupakan inisiatif kerajaan bagi menyediakan kemudahan ibadah yang selesa dan selamat kepada penduduk setempat.

Menurut beliau, projek yang diambil alih oleh kontraktor baharu sejak Julai 2023 itu melibatkan kos keseluruhan melebihi RM12.95 juta.

“Ini adalah masjid yang unik kerana satu-satunya masjid di atas air di negeri Kedah. Setakat yang saya tahu, terdapat masjid di tepi pantai di Langkawi, tetapi masjid ini dibina di atas laut. Ketika ini, projek telah mencapai 98.6 peratus siap dan hanya berbaki 1.4 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kemajuan pembinaan masjid tersebut di sini, hari ini.

Tambahnya, proses penyerahan projek daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dijangka dilaksanakan pada penghujung April ini.

Projek pembinaan itu merangkumi bangunan utama masjid serta beberapa struktur sokongan termasuk gerbang, menara tangki air, menara azan, pembinaan pencawang kompak Tenaga Nasional Berhad dan sistem rawatan kumbahan kecil (SSTS).

Masjid terapung itu dijangka bukan sahaja memenuhi keperluan komuniti setempat, malah menjadi mercu tanda baharu yang mampu menarik kehadiran pelancong ke Yan.-Berita RTM