Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia mengambil pendirian bahawa sebarang usaha gencatan senjata tanpa jaminan kukuh hanya akan mengulangi kitaran keganasan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengalaman lalu berkaitan gencatan senjata membuktikan perkara itu sebagaimana yang berlaku di Gaza dan Lubnan.

“Pengalaman lalu membuktikan bahawa gencatan senjata tanpa jaminan kukuh hanya akan mengulang kitaran keganasan, sebagaimana yang berlaku di Gaza dan Lubnan. 

“Justeru, usaha damai mesti berteraskan keadilan, akauntabiliti dan komitmen berpanjangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata Malaysia percaya keamanan sejati menuntut penyelesaian yang tuntas, demi menjamin keselamatan semua pihak serta memulihkan maruah kemanusiaan di rantau Asia Barat.

Penegasan itu dibuat Perdana Menteri ketika berhubung dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menerusi panggilan telefon yang dikongsi di media sosial hari ini. 

Beliau turut mengambil maklum kesediaan Iran untuk berunding, dengan syarat penamatan perang secara muktamad. 

“Saya telah berhubung dengan Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian, bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung konflik Asia Barat yang kian meruncing.

Anwar pada masa sama turut merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada seluruh rakyat Iran atas kehilangan besar kepimpinan tertinggi itu, termasuk tokoh politik, ketenteraan dan keselamatan, selain nyawa rakyat tidak berdosa, termasuk kanak-kanak dan orang awam.

Katanya, pada masa sama, beliau menegaskan, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang didukung Amerika Syarikat ke atas Iran.

“Malaysia turut menyatakan keprihatinan terhadap negara-negara sahabat di Teluk yang terkesan akibat konflik ini.

“Malaysia mengutuk sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam, kerana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa, prinsip kemanusiaan dan nilai keadilan,” katanya. 

Tambahnya lagi, dalam perbualan itu, Masoud turut menyuarakan penghargaan susulan pendirian Malaysia. 

Anwar berkata Malaysia akan terus memperkukuh solidariti terhadap Iran dan rakyatnya. 

“Sama-sama kita doakan agar konflik di Asia Barat dapat menemui jalan damai dengan kadar segera,” katanya.-BH Online