Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan kebajikan pesawah terus menjadi keutamaan kerajaan walaupun berdepan cabaran kenaikan harga diesel dan ketidaktentuan global.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pelbagai langkah awal telah dilaksanakan termasuk meningkatkan kadar bantuan pembajakan daripada RM100 kepada RM160 sehektar serta memperkenalkan bantuan upah menuai RM50 sehektar.

Menurut KPKM, tindakan segera turut diambil bagi menangani kesan cuaca kering dan kemarau di utara negara, antaranya melalui Operasi Pembenihan Awan pada Februari lalu serta penggunaan kaedah penanaman Tabur Terus Kering (TTK).

“Pesawah yang terjejas turut dinilai untuk bantuan di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dan Skim Takaful Tanaman Padi,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, KPKM memaklumkan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Industri Padi dan Beras Negara (JKPIPB) pada 17 Mac lalu sebagai platform rasmi menghimpunkan semua pemain industri bagi membincangkan isu berkaitan secara kolektif.

Selain itu, sesi libat urus bersama pemain industri termasuk wakil pesawah dan pengilang baja turut diadakan bagi mendapatkan maklum balas berhubung impak konflik Asia Barat terhadap sektor pertanian.

Kementerian turut menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti kesan kenaikan harga minyak dunia terhadap kos operasi sektor pertanian serta merangka langkah susulan.

Dalam pada itu, KPKM menegaskan subsidi input seperti benih, baja dan racun tidak terjejas dan akan diteruskan seperti biasa.

Mengulas dakwaan berhubung bantuan insentif tunggu tuai RM600, kementerian menjelaskan bantuan itu adalah bayaran khas secara sekali beri bagi musim tanaman 2023 dan 2024 sahaja serta tidak diteruskan bagi tahun 2025 dan 2026.

“Justeru, tidak timbul isu kelewatan pembayaran seperti yang didakwa,” menurut kenyataan itu.

KPKM turut memaklumkan pihaknya sedang memantau impak kenaikan harga diesel secara menyeluruh sebelum sebarang cadangan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.

Menurut kementerian tersebut, kerajaan juga boleh melaksanakan intervensi sewajarnya di bawah peruntukan Akta 522 sekiranya berlaku gangguan terhadap rantaian bekalan padi dan beras negara.

Tegas KPKM, pendekatan proaktif, inklusif dan berasaskan data akan terus diambil bagi memastikan keterjaminan makanan negara kekal terpelihara.-Berita RTM