Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kerajaan sedang meneliti langkah menetapkan peraturan kerja lebih anjal termasuk pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam dalam usaha mengurangkan kesan gangguan bekalan minyak dunia berikutan krisis di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan terpilih.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif itu juga digalakkan ke atas sektor swasta, selaras amalan beberapa syarikat dan bank yang telah melaksanakan kaedah kerja fleksibel sebelum ini.

“Insya-Allah kita akan terus menjaga disiplin, mengelak keborosan, ketirisan dan menjaga supaya momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia ini agak luar biasa, dan terkecuali kerana setelah melihat kemurungan yang berlaku di dunia.

“Kita lihat Malaysia ini masih mendapat tarikan, menjadi pusat tarikan pelaburan yang sangat aktif sepertimana yang kita umumkan beberapa langkah setelah kemelut dan peperangan ini masih ramai yang datang,” katanya menerusi perutusan khas hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri juga mengajak rakyat mendoakan agar Malaysia kekal aman, sambil menekankan bahawa semua rakyat, sama ada di sektor awam atau swasta, perlu bekerja gigih dan bersungguh-sungguh.

“Biar kita tingkatkan keupayaan ekonomi dalam setiap ujian dan cabaran daripada Allah Subhanahu wa ta’ala. Keadaan yang berlaku di dunia masih memberi kesempatan untuk memperbaiki dan meningkatkan keupayaan kita,” katanya.-Berita RTM