KUALA LUMPUR: Perlis serta Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Sik, Kedah, terus berada pada Tahap Dua (Gelombang Haba) dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah celsius.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan di Facebook, berkata sebanyak 16 kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia pula berada pada Tahap Satu selepas merekodkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah celsius.
“Cuaca panas berkenaan dijangka berlaku sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
“Ini membabitkan kawasan Kedah iaitu Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu serta Timur Laut dan Utara, Pulau Pinang.
“Amaran sama dikeluarkan bagi Hulu Perak, Selama, Kinta, Kuala Kangsar dan Perak Tengah di Perak termasuk Jerantut, Pahang dan Segamat, Johor,” katanya.
Justeru, penduduk di semua kawasan terbabit dinasihatkan berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti luar kerana keadaan kering.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian menerusi laman sesawang rasmi METMalaysia.-BH Online
