Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TEHRAN: Konflik di Asia Barat yang kini memasuki minggu keempat menyaksikan Iran terus bertegas tidak akan berunding dengan Amerika Syarikat (AS).

Jurucakap Markas Pusat Khatam al-Anbiya Iran, Ebrahim Zolfaqari, berkata pendirian Iran kekal tidak berubah meskipun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Tehran mahu mencapai perjanjian bagi menamatkan perang.

Zolfaqari menegaskan Iran tidak akan berkompromi dengan AS pada bila-bila masa.

“Kata-kata pertama dan terakhir kami adalah sama sejak hari pertama… kami tidak akan sekali-kali mencapai persefahaman dengan AS, sama ada sekarang atau pada bila-bila masa,” katanya.

Zolfaqari turut mendakwa kestabilan serantau hanya dapat dijamin melalui kekuatan ketenteraan Iran.

“Sehingga kamu memahami bahawa kestabilan di rantau ini dijamin oleh kekuatan angkatan bersenjata kami, tiada pelaburan anda yang akan kekal dan harga tenaga tidak akan kembali seperti sebelum ini,” katanya.

Dalam masa sama, Zolfaqari mendakwa, kuasa strategik yang dibanggakan AS kini bertukar menjadi ‘kekalahan strategik’, sambil menyifatkan dunia kini terbahagi kepada dua pihak iaitu ‘kebenaran dan kebatilan’.

Konflik AS-Israel dan Iran setakat ini dilaporkan mengorbankan ribuan nyawa, selain mencetuskan kejutan besar terhadap pasaran tenaga global dan kebimbangan inflasi di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, kepemimpinan Iran berulang kali menegaskan mereka tidak boleh berunding dengan AS, dengan alasan Washington didakwa pernah menyerang negara itu ketika rundingan peringkat tinggi sedang berlangsung dalam tempoh dua tahun lalu.-BH Online