Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Semua pasukan keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan supaya sentiasa bersiap siaga bagi mendepani sebarang ancaman, terutama yang wujud akibat tempias konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ini kerana kesan konflik terbabit, termasuk yang membabitkan aspek keselamatan sudah pun melebar hampir ke semua negara di seluruh dunia.

Beliau juga mengingatkan Malaysia tidak terkecuali daripada risiko dan kesan konflik terbabit, terutama ketika negara dikategorikan antara yang paling aman dan mempunyai pelbagai potensi.

Mengakui tidak boleh memperincikan risiko itu kepada umum, Perdana Menteri berkata, risiko itu adalah berdasarkan penjelasan diberikan rakan di peringkat antarabangsa, termasuk badan risikan.

“Dalam keadaan kekacauan ini jangan anggap kita terasing. Sungguhpun Malaysia antara negara dianggap membangun, berkembang, mempunyai potensi dan paling aman.

“Keadaan ini menyenangkan rakyat kita, tetapi menimbulkan keresahan dalam kalangan musuh. Jadi kita harus waspada, jangan pandang ringan dan enteng soal isu keselamatan negara.

“Dalam kemelut begini, ‘signs of desperation’ (keadaan terdesak) timbul di mana-mana peringkat dan kita harus lebih waspada serta bersiap siaga,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, hari ini.-BH Online